DUN Panchor

Tuesday, Sep 24th

Last update02:09:31 PM GMT

You are here:: Blog Berita Program Kerajaan Negeri Kelantan Loji Rawatan Manfaat Pada 50,000 Penduduk

Loji Rawatan Manfaat Pada 50,000 Penduduk

E-mail Print PDF

111009_majaariKOTA BHARU, 10 Okt: Dalam usaha menjaga alam sekitar termasuk sumber air selain melaksanakan pengurusan perkhidmatan pembentungan bagi kesejahteraan dan keselesaan rakyat, kerajaan negeri mempertingkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatannya.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bagi mengambil alih tanggungjawab khususnya membabitkan pengurusan dan perkhidmatan pembentungan yang dahulunya dikendalikan pihak berkuasa tempatan, kerajaan telah menubuhkan syarikat pembentungan negeri, Majaari Services Sdn Bhd. Katanya, penubuhan syarikat itu pada 2007 selaras dengan pengenalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Akta Industri Perkhidmatan Air.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Kumbahan Awam dan Hari Bersama Pelanggan Majaari Services Sdn Bhd di tapak Loji Kumbahan Awam Perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Padang Tembak, Pengkalan Chepa dekat sini, semalam. Turut hadir Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Pengurus Majaari Services Sdn. Bhd, Pauzi Mohamed dan para pegawai. Hadir sama Tan Sri Tee Tiam Lee dari Salcon Berhad, Selangor. Menurut Menteri Besar, kini projek membaik pulih dan menaik taraf loji rawatan kumbahan serta rangkaian paip pembentungan telah disiapkan dan ianya memberi faedah kepada lebih 50,000 penduduk.

“Dengan adanya sistem pembentungan yang lebih moden, rakyat dapat menikmati perkhidmatan pembentungan lebih baik dan dalam masa sama menjaga kelestarian alam sekitar khususnya kitaran air. “Kajian tadahan pembentungan lapan daerah di negeri ini telah disiapkan dan boleh digunakan bagi perancangan pembangunan pembentungan secara menyeluruh. “Tapak Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Wilayah untuk Kota Bharu Utara dan Selatan telah pun dikenalpasti dan usaha permulaan sedang dilakukan bagi tujuan urusan pengambilan bagi pembinaan Loji Kumbahan berkapasiti besar,’ katanya sambil menambah bahawa Kerajaan Pusat telah memberi pinjaman RM30 juta bagi kerja-kerja kumbahan awam. “Tempat ini saja memakan belanja RM10 juta bagi pengambilan tanah, manakala di jajahan lain sudah dikenal pasti tapaknya.

Terima kasih banyak saya kepada pihak Pusat yang telah memberi pinjaman kepada Kelantan untuk menjaga kebersihan awam,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman berkata selaras dengan usaha membaik pulih dan menaik taraf loji rawatan kumbahan itu, maka bermula transformasi baru dalam sistem pembentungan lebih moden. Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Majaari Services Sdn Bhd berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar berusaha sedaya upaya menyediakan pengurusan pembentungan yang baik untuk rakyat.

Sumber Berita & Gambar: HarakahDaily